Ada seorang perempuan tua yang taat beragama, tetapi suaminya seorang
yang fasik dan tidak mahu mengerjakan kewajipan agama dan tidak mahu
berbuat kebaikan.
Perempuan itu sentiasa membaca Bismillah setiap kali hendak bercakap
dan setiap kali dia hendak memulakan sesuatu sentiasa didahului dengan
Bismillah. Suaminya tidak suka dengan sikap isterinya dan sentiasa
memperolok-olokkan isterinya.
Suaminya berkata sambil mengejak, “Asyik Bismillah, Bismillah. Sekejap-sekejap Bismillah.”
Isterinya tidak berkata apa-apa sebaliknya dia berdoa kepada Allah
S.W.T. supaya memberikan hidayah kepada suaminya. Suatu hari suaminya
berkata : “Suatu hari nanti akan aku buat kamu kecewa dengan
bacaan-bacaanmu itu.”
Untuk membuat sesuatu yang memeranjatkan isterinya, dia memberikan
wang yang banyak kepada isterinya dengan berkata, “Simpan duit ini.”
Isterinya mengambil duit itu dan menyimpan di tempat yang selamat, di
samping itu suaminya telah melihat tempat yang disimpan oleh isterinya.
Kemudian dengan senyap-senyap suaminya itu mengambil duit tersebut dan
mencampakkan beg duit ke dalam perigi di belakang rumahnya.
Setelah beberapa hari kemudian suaminya itu memanggil isterinya dan
berkata, “Berikan padaku wang yang aku berikan kepada engkau dahulu
untuk disimpan.”
Kemudian isterinya pergi ke tempat dia menyimpan duit itu dan diikuti
oleh suaminya dengan berhati-hati dia menghampiri tempat dia menyimpan
duit itu dia membuka dengan membaca, “Bismillahirrahmanirrahiim.” Ketika
itu Allah S.W.T. menghantar malaikat Jibrail A.S. untuk mengembalikan
beg duit dan menyerahkan duit itu kepada suaminya kembali.
Alangkah terperanjat suaminya, dia berasa bersalah dan mengaku segala
perbuatannya kepada isterinya, ketika itu juga dia bertaubat dan mula
mengerjakan perintah Allah, dan dia juga membaca Bismillah apabila dia
hendak memulakan sesuatu kerja.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar