"Malu itu separuh dari iman", begitu sabda
Rasulullah SAW. Malu yang dimaksudkan ialah malu kepada Allah SWT. Malu
untuk melakukan maksiat dan malu meninggalkan taat. Jika malu itu 50%
daripada IMAN, mana 50% lagi? Yang selebihnya ialah TAKWA. Malu dan
takwa adalah gandingan sifat yang menjadikan seseorang mempunyai 100%
keimanan.
.
Takwa
bermaksud bukan saja takut kepada Allah SWT tetapi lebih daripada itu
"buat apa yang disuruh dan tinggalkan apa yang ditegah". Jika sekadar
takut saja, tak jadi apa-apa. Misalnya takut gagal dalam peperiksaan
tidak bererti jika tidak diikuti dengan rajin membaca buku dan
mengulangi pelajaran. Takut kepada Allah SWT mestilah diikuti dengan
melakukan ketaatan dan menjauhi larangan.
.
Ukurlah
diri kita berapa peratuskah sifat MALU dan TAKWA yang ada pada diri
kita. Itulah darjat keimanan kita. Bak kata orang periksalah diri kita
sebelum kita diperiksa. Ulama pernah menyebutkan "bertafakkur satu saat
(dalam memikir kebesaran Allah) adalah lebih baik daripada beribadat
1000 tahun". Ini jangan disalahtafsirkan sebagai tak perlu beribadat
memadai dengan bertafakkur. Ia cuma memberi gambaran bahawa tafakkur
menjadi faktor utama dalam mencari kekuatan beribadat.
.
Proses
musyahadah perlu dilakukan secara berterusan sehingga menjadi darah
daging. Atau sehingga terasa benar di dalam diri kita tentang kebesaran
Allah SWT dan merasakan bahawa tidak ada sesuatu yang Allah SWT jadikan secara sia-sia.
Kesemuanya ada hikmah yang di luar kemampuan kita untuk memikirkannya.
Musyahadah menjadi satu daripada beberapa jalan untuk mencapai iman.
.
Dengan
iman ini, kita akan berasa lazat berzikir, mencari ilmu agama,
melakukan ibadat fardhu, menambah dengan ibadat sunat serta berusaha
mencari keredhaan Allah SWT. Sebaliknya kita benci melakukan kejahatan
sebagaimana takutnya kita menghampiri kepada api neraka. Barulah ketika
itu kita merasakan kelazatan iman dan terasa hubungan yang rapat dengan
Allah SWT disebabkan oleh keredhaan Allah terhadap diri kita.
.
Di
samping melakukan proses musyahadah, kita perlu melakukan muraqabah
yakni menghampirkan diri terhadap Allah dengan melakukan segala amal
fardhu dan sunat. Kita perlu menjaga dua hubungan iaitu hablum minAllah (hubungan dengan Allah) dan hablum minannas
(hubungan dengan manusia). Dalam hubungan ini, Allah sering
mengingatkan kita supaya berjalan di muka bumi Allah SWT dengan niat
melihat kebesaran Allah SWT sambil memerhatikan balasan yang Allah SWT
timpakan kepada umat-umat terdahulu yang telah menganiayai diri mereka
sendiri.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar